Rabu, Jun 29, 2011

氷止カード、天装!

Assalamu'alaikum Warahmatullah...

(Tajuk di atas tiada kaitan dengan apa yang saya akan kongsikan. Tiada idea untuk mentajukkan entri ini. Maaf. ^.^)

Saya tiada ada apa-apa untuk dikongsikan. Em... Mungkin juga sekadar ucapan. :D

بارك الله لكم وبارك عليكم وجمع بينكم في الخير

Selamat Pengantin Baru untuk sahabat berikut:
  1. Mohd Fadzil Bin Yunus (Kondangan pada 29/5 di Banting, Selangor)
  2. Muhamad Firdaus Bin Shapian (Kondangan pada 5/6 di Peringgit, Melaka)
  3. Hadlisham Bin Mohamad (Kondangan pada 5/6 di Kuala Krai, Kelantan)
  4. Ismalyna Binti Iskandar (Kondangan pada 5/6 di Banting, Selangor)
  5. Mohd Husni Bin Halid (Kondangan pada 12/6 di Selayang (kot), Selangor)
  6. Saidan Wa Kariman Bin Baharom (Kondangan pada 19/6 di Banting, Selangor)
  7. Zaidul Amin Suffian (Kondangan pada 19/6 di USJ (kot. Lupa tempatnya)
  8. Mohamad Syafiq Bin Abdul Latip (Kondangan pada 9/7, di Pelabuhan Kelang, Selangor)
  9. Sesiapa yang telah mengirim kondangan (a.k.a. jemputan) tetapi terlupa untuk saya taipkan di sini. Maaf ya. :P

Pernahkah terfikir, banyak-banyak tarikh dari mula cuti sekolah sampai tamat cutinya, mengapakah hari Sabtu dan Ahad juga yang dipilihnya? (Pertanyaan sekadar gurauan). Jadi, kepada pengantin-pengantin yang menghantar jemputan tetapi tidak saya penuhi, maaf dipinta. Macam-macam peristiwa telah berlaku.

Bulan Jun juga adalah bulan Bapa. Menurut kalender Masihi, hari Bapa tahun ini jatuh pada hari Ahad dari minggu ke-2, iaitu 12/6. Selamat Hari Bapa kepada semua bapa, kecuali "bapa ayam". :D

Saya tidak nampak sebarang respon, komen, atau emel bantahan sambutan Hari Bapa, walhal sambutan Hari Bapa juga seperti sambutan Hari Ibu - perayaan orang Kristian. Mahu juga saya tunggu sebarang bantahan seperti yang keluar ketika 8/5 yang lalu (kerana mahu tahu apa isu yang akan dibangkitkan untuk mereka bantah). Ataupun saya ketinggalan kerana terputus "hubungan Internet" selama seminggu? (pulang ke Kuala Nerang).

Namun begitu, jika ada sesiapa bertanya tentang hukum sambutan Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Hari Kanak-kanak, dan pelbagai hari khusus termasuk Hari Buruh dan Hari Kemerdekaan, saya lebih suka untuk menjawab ia adalah salah satu adat dan kebudayaan masyarakat tersebut. Sebagai contoh, budaya orang Amerika adalah meninggalkan rumah dan hidup berdikari sendirian. Ada antara mereka yang langsung mengabaikan ibu bapa masing-masing apabila berjaya dalam hidup mereka. Melihat kepada kekurangan sebegini, mereka mencadangkan sambutan hari-hari khusus - sebagai simbol terima kasih kepada orang-orang yang pernah berjasa kepada mereka.

Saya percaya, ada yang berpendapat untuk menolak sambutan sebegini kerana unsur-unsur kekristianan yang ada pada sambutan. Namun saya juga percaya kita ada cara kita sendiri untuk meraikan ibu bapa kita. Buka saja al-Qur'an, mesti jumpa kalimah "بر الوالدين". Maka, tanpa ragu-ragu atau "segan-segan kucing", fikir-fikirkanlah sendiri bagaimana cara kita berbakti kepada mereka - ibu bapa kita...

Selasa, Jun 07, 2011

Adab & Akhlak

Assalamu'alaikum Warahmatullah...

Saya cuma mahu beritahu yang saya dihadiahkan CD percuma dari Masriezan. Senior di SMKA Ma'ahad Hamidiah. CD album Varianz berjudul Dunia Baru. "Boy-band" ini membawa muzik nasyid moden. Saya akan mendengar lagu-lagu mereka nanti. :D

(Hajat di hati mahu tamatkan tulisan di sini. Tapi ini bukan "Twitter". Aduhai...)

Pernah dengar ayat bahasa Melayu sebegini?

"Harap saja bertudung labuh. Tapi mengumpat mengalahkan murai!".
"Walaupun I berpakaian seksi, tapi hati I bersih, nyah!".
"Lain kali, kalau nak ungkit pasal orang, tunggu orang tu ungkit dulu".
"Engkau tinggalkan saja baju tu kat situ. Nanti adalah kuli membasuhnya".

Mungkin biasa. Sebab masyarakat Malaysia lebih suka mengutuk berbanding menasihati. Saya kadang-kadang terfikir, siapa yang bersalah? Individu itu sendiri atau masyarakat sekelilingnya?

Ada rakan bercerita guru sekarang tak semuanya prihatin akan akhlak anak muridnya. Pelbagai episod diceritakan kepada saya. Cerita tentang cikgu senior mempengaruhi cikgu-cikgu yang baru "posting" untuk membenci atau mengutuk cikgu yang lain, membeli kereta mahal dengan gaji pertama, dan macam-macam lagi. Cerita tentang cikgu memberi istilah "Zoo" kepada "Kelas" dan "Monyet" kepada "Murid". Cerita tentang cikgu ponteng dan meminta elaun tambahan...

Bayangkan kalau anak muda seluruh Malaysia berguru dengan cikgu yang macam itu, mungkinkah ayat-ayat penyata seperti di atas diungkitkan? Akhirnya seluruh Malaysia berlagu "Bangau Oh Bangau". Hanya menuding jadi, menyalahkan orang lain dan mengutuk sesama sendiri walaupun menghadap kiblat yang sama.

Apakah caranya untuk menghentikan "kitaran" sebegini? Pandai bercakap, tapi tak pandai beramal? Memang lumrah manusia lupa, tapi kita tidak membudayakan beramal dengan akhlak dan adab. Hanya beramal dengan hukum saja...

Percaya tak? Kalau tak percaya, cuba dengar atau perhatikan cara kawan-kawan kita yang tinggi ilmu agamanya menegur yang rendah ilmu agamanya. Bahasanya kasar atau lembut? Yang pakar kadang-kadang "bajet" apa yang disampaikan telah diketahui oleh respondennya, hingga dia terlupa respondennya bukannya perasan pun yang dia tersilap. Kalau yang pakar itu jenis panas baran, dia melenting kepada yang jahil, ada yang sanggup tinggalkan kawan hanya sebab "loyar buruk", tapi terlupa yang dia pun terlepas kata juga dalam bercakap...