私わ星野源のウィキペディアにグーグルで[逃げるは恥だが役に立つ]か見てしまう


السلام عليكم

Pada suatu hari, saya bercadang untuk menyemak kertas kerja saya. Atas alasan untuk hilangkan mengantuk, saya buka Youtube. Nampaknya Youtube mencadangkan kepada saya untuk melihat klip video 'Toki yo' nyanyian En. Hoshino Gen. Selain terfikir tentang stesen keretapi mana yang dia buat video itu dan mengapa 'pembantunya' bertopeng, saya membuat carian dari Wikipedia tentang En. Hoshino. Ringkas saja. Tapi nampaknya mata saya tertarik untuk meneruskan bacaan saya tentang drama lakonannya... Dan akhirnya membuat maraton menonton drama Jepun, 'We married as a Job'. 😅

Elok saya buatkan sinopsis drama ini: 

'Moriyama Mikuru, wanita berkelulusan sarjana dari sebuah universiti dalam bidang Psikologi Klinikal, berusaha mencari kerja tetap. Akhirnya Mikuru membuat kerja sambilan sebagai seorang pembantu rumah kepada Tsuzaki Hiramasa, seorang bujang yang beza umur mereka 10 tahun. Mikuru hanya datang ke rumah Hiramasa pada hari Jumaat sebelum Hiramasa bertolak ke tempat kerjanya. Diceritakan, ayah kepada Mikuru berhasrat untuk bersara dan berpindah ke kampung. Maka, Mikuru terasa yang dia akan menyusahkan ibu bapanya jika tiada kerja tetap. Jadi Mikuru secara tidak sengaja 'meminang' Hiramasa. Dan Hiramasa bersetuju dan meletakkan terma-terma khusus dan kiraan perbelanjaan kerana menyangka ia hanya untuk urusan kerja Mikuru di rumahnya. Perkahwinan mereka dicurigai rakan-rakan sekerja Hiramasa kerana berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang majlis perkahwinan. Tambahan lagi Hiramasa dilihat rakan-rakan sekerjanya sebagai seorang yang tidak mungkin berkahwin kerana tidak mempunyai kekasih atau menunjukkan minat terhadap wanita...'

Sebahagian nilai-nilai murni yang ditonjolkan dalam drama ini:
1. Amanah
Mikuru hanya mengemas rumah Hiramasa dan membuat kerja dobi dan terus pulang ke rumah setelah selesai mengemas. 👍

2. Jujur
Mikuru secara jujur menzahirkan emosi dan perasaannya sebagai pembantu rumah/isteri dan penzahirannya berjaya mengubah persepsi Hiramasa yang asalnya takut untuk mempunyai sebarang perhubungan istimewa. Contohnya, ada babak Mikuru secara jelas menyebut yang dia sukakan karakter Hiramasa dan berhasrat untuk sentiasa bersama Hiramasa. 😊

3. Saling membantu 
Mikuru berkawan dengan Yassan dari kecil. Yassan dalam drama ini digambarkan sebagai seorang ibu tunggal yang hampir membunuh diri bersama anak kecilnya kerana tekanan hidup. Panggilan telefon Mikuru berjaya menggagalkan niat Yassan. Mikuru kemudiannya semakin rapat dengan Yassan dan mendorang Yassan untuk memperbaiki dirinya.👍👍

Isu-isu yang perlu difikirkan: 
1. Trend 'cohabitat' dalam masyarakat
Walaupun Hiramasa dan Mikuru mengumumkan perkahwinan mereka dan mendapat restu ahli keluarga masing-masing, Hiramasa tidak mendaftarkan perkahwinannya. Digambarkan dalam drama ini, syarikat tempat Hiramasa kerja secara tiba-tiba memendekkan kontrak kerja Hiramasa atas alasan kekangan kewangan dan Hiramasa dilihat mempunyai kurang komitmen keluarga, walaupun hakikatnya Hiramasa berkahwin. Apabila Hiramasa mencadangkan agar perkahwinannya dengan Mikuru didaftarkan, Mikuru menolak cadangannya kerana menyangka Hiramasa akan 'mempergunakan cintanya. 

Isu 'cohabitat' juga antara topik hangat di Malaysia dan pernah dibincangkan di Parlimen kerana meraka dilihat sebagai 'suami-isteri' tanpa ikatan rasmi, dan seterusnya ada di antara mereka menarik perhatian umum dengan isu seperti hak sepencarian, keganasan dalam rumah, dan nafkah anak hasil hubungan mereka (Ida Lim, Malay Mail: 2017). Saya melihat perlunya pendaftaran perkahwinan diwajibkan di Malaysia, sama ada melalui Jabatan Agama Islam setiap negeri atau Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengurangkan masalah ini. Namu setakat waktu saya menaip blog ini, saya tidak pasti seramai mana pasangan Muslim dan bukan Muslim yang sah berkahwin tetapi tidak mendaftarkan perkahwinan mereka.

2. Normalisasi minuman beralkohol dalam masyatakat
Banyak babak minuman beralkohol ditayangkan dalam drama ini. Mungkin kerana ia sudah sebati dengan masyarakat Jepun, seperti bersosial pada hari akhir kerja bersama rakan-rakan sekerja dan klien, dan lain-lain. Ada babak yang tidak perlu diselitkan seperti sebutan 'danke' sebelum minum, dan sebagainya.

Ramai mengetahui di Malaysia, ada banyak kes kemalangan maut yang berpunca dari pengambilan minuman beralkohol yang memabukkan (Mohd Azam Shah Yaacob, My Metro: 2018). Mungkin kita boleh buat kajian perbandingan antara tabiat meminum arak berisiko dengan tabiat meminum arak secara selamat, sebab saya belum berjumpa mana-mana doktor berbincang topik ini, secara terperinci. Mungkin dari situ dapat kita hubung kaitan pandangan Islam dan sains perubatan tentang tabiat minum arak ini. Manalah tahu, hasil kajian itu dapat merungkai punca arak diharamkan dalam Islam dan seterusnya mendorong ramai orang untuk berhenti berkempen minum arak dalam kuantiti sedikit.

3. Normalisasi dalam mendefinasikan kecenderungan seks mengikut acuan Barat
Ada dua watak dalam drama ini digambarkan sebagai 'gay' berdasarkan pengakuan mereka. (Rasa malas pula nak beri contohnya).

Dari segi undang-undang Malaysia, meliwat dikira sebagai satu kesalahan, sama tarafnya dengan merogol, sama ada sukarela atau paksa. Penyokong kumpulan liberal LGBT seharusnya berhenti menggunakan istilah Barat ini dan fokus kepada isu kebajikan yang lain tanpa perlu memaksa kerajaan untuk menghalalkan aktiviti meliwat dan seks bebas yang sinonim dengan kumpulan ini. Berhentilah mengaku sebagai 'gay'. Berhentilah menggunakan istilah-istilah Barat ini kalau mahu kebajikan 'kumpulan' terjaga. Sebab masyarakat Malaysia hanya tahu orang 'gay' hobinya meliwat sahaja.

4. Pendapatan tetap sebagai suri rumah
Yang ini menarik. Mikuru malu untuk menyatakan yang dia dibayar sebagai suri rumah berbanding orang ramai yang rata-ratanya tiada pendapatan sebagai suri rumah.

Rasanya idea ini antara penyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang lepas. Idea Hiramasa yang ini menarik. Nice! Hiramasa. 👍

5. Gosip dan buli di tempat kerja
Ada beberapa babak dalam drama ini menggambarkan situasi sebegini. Antara yang ketara apabila Hiramasa dikatakan menjalinkan hubungan sulit dengan rakan sekerjanya, Kazami, yang pada hakikatnya Kazami lebih kepada membuli Hiramasa untuk mendekati Mikuru; dan babak Yuri, makcik kepada Mikuru yang disiasat mencabul pekerja.

Situasi bergosip dan membuli nampaknya seperti berada di mana-mana... Banyak dah orang ramai dan penceramah mengulas kegiatan sebegini. Mungkin kita perlukan tips baru untuk elakkan bergosip... 😏

Penilaian saya
Menonton drama ini mengingatkan saya kepada diri saya yang dulu... Mungkin jika isteri saya menolak lamaran saya 7 tahun dulu, saya terus membujang. Disebabkan apa yang dilakonkan Hirasama itu lebih kurang apa yang saya fikirkan tentang idea berkahwin. Macam memberi pendapatan tetap bulanan... Tetapi rupanya lebih kepada berkongsi hidup. Mungkin penulis skrip dan pengarah drama ini mahu penonton berfikir apa yang akan terjadi sekiranya kita tidak berubah atau sekurang-kurangnya berusaha untuk berubah.

Drama ini sesuai ditonton oleh pasangan yang baru berkahwin, yang belum sampai 5 tahun kahwin. Sebab Mikuru dan Hiramasa sama-sama belajar tentang hati budi masing-masing selepas berkahwin, dan sama-sama belajar bertolak ansur serta meluahkan perasaan masing-masing. Mungkin kurang rasa bertolak ansur dan berkomunikasi mendorong segelintir pasangan muda yang mahu bercerai. 'Tiada kesefahaman', kata mereka. Ada komunikasi yang jelas membantu pasangan bertolak ansur dana mengharungi cabaran rumah tangga.

Bila agaknya saya boleh berjalan berdua berpegangan tangan dengan isteri saya? Sekarang saya berjalan pegang tangan anak-anak. Isteri saya pegang barang. Hehe.

Cuma saya tak puas hati dengan pengakhiran drama: Hiramasa sudah tak kisah untuk mendaftar perkahwinan. Nampak macam mereka akhirnya mendaftar sebab ada babak fotografi pasca majlis perkahwinan, cuma saya tak pasti itu khayalan atau kenyataan, sebab mereka duduk berdua dan berbincang dan ada campur aduk khayalan dan kenyataan. Kalau ada musim kedua, harapnya isu pendaftaran sudah selesai...

Trivia:
Saya suka muzik En. Hoshino Gen berbanding suaranya. Tetapi kini saya kerap mengulang dengar 4 lagunya melalui Youtube Music. En. Hoshino lebih sesuai berkaca mata tebal, seperti di dalam drama berbanding penampilan pentasnya tanpa cermin mata.

(Sebagai tambahan, kalau En. Hoshino menjadi duta produk kulit, ramai wanita dan lelaki yang akan beli. Kulit dia cerah, lebih cerah berbanding Cik Aragaki Yui, watak utama drama 'We married as a job'. Lebih putih berbanding kulit perempuan Jepun normal. Sesuatu yang En. Khairy Jamaludin 'letih melayan' rakyat Twitter satu ketika dahulu).

Ulasan

  1. Isteri saya ada maklumkan ada sebenarnya kajian terhadap 'safe alcoholic drinking habit' cuma pada isu kehamilan. Ibu hamil tak boleh langsung minum arak. https://www.cdc.gov/ncbddd/fasd/alcohol-use.html

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

理論

アップデット