لطف سڠ ڤڠمبارا ميمڤي #1
2.30 petang.
Di Kompleks Hal Ehwal Pelajar, SAM Tali Air, ada seorang pelajar lelaki. Dia berdiri menghadap seorang guru.
"Selagi kamu tak buka mulut, sebab apa kamu memukul pelajar-pelajar perempuan tu, selagi itu cikgu tak akan lepaskan kamu!", herdik guru itu.
Kedengaran bunyi pintu diketuk.
"Assalamualaikum, cikgu. Lama lagikah?". Lelaki yang mengetuk pintu bilik guru itu menyapa.
"Ya, Ustaz Luqman..." sahut guru itu. Sambil meninggalkan pelajar lelaki yg sedang disiasat tadi, guru itu menyambut lelaki yang digelarkan Ustaz Luqman tadi.
Bisikan demi bisikan, ibarat desiran angin yang bertiup melalui corong kulit siput di pantai, didengari pelajar lelaki itu. Namun, tidaklah sejelas mana. Hanya bunyi huruf S yang kedengaran.
"Lutfi. Balik", arah guru tadi.
"Terima kasih, cikgu", akur pelajar lelaki yang tadi berdiri menghadap guru itu.
Tangan dihulur. Pelajar lelaki itu namanya Lutfi. Menghulur tangan sebagai tanda memohon maaf kepada guru tadi. Diciumnya tangan guru itu dengan rela hati. Berjalan menuju Ustaz Luqman.
"Lutfi, beg kamu sudah kemas?", Tanya Ustaz Luqman.
"Belum, ustaz". Jawab Lutfi.
"Baik. Ustaz tunggu kamu di kereta ustaz, ya".
Lutfi pulang ke rumah bersama Ustaz Luqman. Mereka berjiran rupanya. Rumah Ustaz Luqman hanya di sebelah kiri rumah Lutfi. Memang Lutfi menumpang kereta Ustaz Luqman untuk pulang ke rumah. Cuma apabila Lutfi ke sekolah, sama ada bapanya yang hantarkan atau Lutfi ke rumah Ustaz Luqman untuk ke sekolah.
Lutfi anak tunggal. Bapanya pun bapa tunggal. Lutfi kehilangan ibu ketika kecil.
Setelah siap Lutfi mengemas beg, Lutfi bergegas ke kereta Ustaz Luqman. Ada seorang pelajar perempuan berdiri berhampiran kelas Lutfi. Sedang tunduk. Lutfi berjalan melepasi pelajar perempuan itu, tanpa melihat atau menegurnya.
"Maaf lambat, ustaz". Lutfi tiba di kereta Ustaz Luqman lalu duduk di tempat duduk hadapan.
"Tak apa, Lutfi". Jawab Ustaz Luqman.
Kereta Ustaz Luqman bergerak melepasi pagar sekolah. SAM Tali Air. Nama sekolah tempat Ustaz Luqman berkongsi ilmu dan pengalaman sambil mencari rezeki. Ustaz Luqman adalah guru yang disegani pelajar dan kakitangan SAM Tali Air. Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ada dua ijazah sarjana muda. Satunya dalam bidang Pendidikan Islam. Satu lagi dalam bidang Sains Kemanusiaan. Tidak diketahui apa kaedahnya Ustaz Luqman berjaya memperoleh dua ijazahnya. Namun, itulah realitinya. Ustaz Luqman mengajar mata pelajaran Usuluddin dan Sejarah.
Ustaz Luqman hanya diam sambil memandu keretanya. Sunyi sepi perjalanan dari sekolah ke taman perumahan tempat mereka berjiran. 10 minit. Apa yang Ustaz Luqman tanya hanyalah...
"Lutfi lapar?"
"Tak, ustaz".
Apabila tiba di rumah Ustaz Luqman, Lutfi meminta izin untuk pulang ke rumahnya.
"Jumpa di surau lepas solat Asar, ya Lutfi", pesan Ustaz Luqman.
"Baik, ustaz".
Lutfi berjalan pulang selepas memberi lafaz salam kepada Ustaz Luqman. Lutfi seorang yang tinggi lampai, berkulit kuning langsat, berbadan kekar. Lutfi sering kali disangkakan seorang bangsa Cina kerana raut wajahnya. Hakikatnya Lutfi ini seorang bangsa Melayu yang suka makan nasi lemak berlaukan ayam masak rempah, tempeh goreng, sambal petai pedas dengan timun dan bendi celur... Lutfi tak kisah pun sebenarnya kerana dia berpandangan itu hanyalah sangkaan mereka.
Apabila masa yang Lutfi berjanji untuk berjumpa Ustaz Luqman, Lutfi bersiapkan diri untuk solat Asar di surau di sana. Selesai solat Asar berjemaah, Lutfi berjumpa Ustaz Luqman di surau. Ustaz Luqman ajak makan piza rupa-rupanya.
Sambil menunggu piza siap dihidang, Ustaz Luqman memulakan perbualan.
"Ustaz sebenarnya nampak Lutfi bergaduh dengan kumpulan pelajar perempuan tadi. Melambung-lambung mereka. Macam dalam filem. Tapi Ustaz nampak Halimah lari sewaktu Lutfi bertumbuk sakan. Dan ustaz nampak Halimah sekali lagi waktu kita pulang. Ustaz rasa, Halimah seperti mahu berjumpa Lutfi waktu kita pulang. Jadi, biar ustaz terus terang. Cuba Lutfi cerita semula apa yang berlaku?" Tanya Ustaz Luqman.
Lutfi memandang raut wajah Ustaz Luqman...
Ulasan
Catat Ulasan