لطف سڠ ڤڠمبارا ميمڤي #2

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa di perkarangan SAM Tali Air, sebuah sekolah menengah agama baru di daerah Kuala Langat. Baru beroperasi. Hanya ada lapan puluh pelajar tingkatan satu di situ. Disebabkan baru, banyak bilik darjah kosong di sekolah itu. 

Kerajaan negeri menempatkan dua puluh pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia di SAM Tali Air, bagi menyelesaikan isu kekurangan bilik darjah di sekolah berhampiran. Lutfi di antara dua puluh pelajar berkenaan. 

Kehadiran pelajar senior segera ini mengembirakan guru-guru SAM Tali Air. Sepuluh dari mereka segera dilantik sebagai pengawas dan pustakawan. Tetapi Lutfi bukan di kalangan yang dilantik. Lutfi dikenali sebagai seorang yang menghormati guru, tetapi suka bertumbuk dan bertinju. Minggu pertama Lutfi di sekolah itu pun sudah ada pelajar yang ditumbuknya. 

Nama Lutfi sering menitip di bibir-bibir guru SAM Tali Air, kerana 'kemahiran tinjunya'. Mutakhir, Lutfi membelasah lima pelajar perempuan tingkatan satu di belakang sekolah. Ustaz Luqman menyaksikan sendiri 'pertarungan bersejarah' ini. Seorang demi seorang 'melayang' akibat tumbukan, tepisan, dan lemparan Lutfi. Akibatnya, Lutfi dipanggil menghadap Cikgu Hadi, guru Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SAM Tali Air. 

Hanya lima minit Lutfi gunakan untuk mengakibatkan lebam antara bahagian perut ke bawah ketiak perempuan-perempuan yang Lutfi belasah. Tetapi hanya tiga jam tiga puluh minit Lutfi gunakan untuk berdiri diam membatu ketika disoal siasat oleh Cikgu Hadi. 

***

"Mujur saya tak patahkan kaki atau tangan budak-budak ni, ustaz". Ujar Lutfi kepada Ustaz Luqman. 

"Orang tengah makan santai-santai, boleh pula mereka berlima bergaduh dengan seorang perempuan ini. Kalau bukan saya nampak benda tajam di tangan salah seorang daripada mereka, tak adalah saya nak masuk bertumbuk..."

"Benda tajam?", Sampuk Ustaz Luqman. 

"Ya. Sempatlah saya kuis tangan budak tu. Cuma saya tak perasan, ke mana jatuhnya benda tajam tu". 

"Bergaduh pasal perempuan yang seorang ini 'declared couple' dengan makhluk seorang ini, katanya tingkatan empat di sekolah lama kita..."

Terang Lutfi kepada Ustaz Luqman. Sememangnya Ustaz Luqman pernah menjadi guru di sekolah Lutfi yang terdahulu. Maka Ustaz Luqman tidak hairanlah dengan karektor Lutfi yang kuat bergaduh ini. Pada Ustaz Luqman, Lutfi ibarat seorang 'anti hero', yang bertindak kasar seperti penyangak tetapi mempunyai alasan tersendiri untuk bertindak kasar. 

'Ping'.

Penggera di restoran piza berbunyi. Tanda makanan yang dipesan Ustaz Luqman sudah sedia. 

"Ustaz, saya basuh tangan dulu ya". Lutfi meminta izin. 

"Baiklah. Ustaz pergi ambil dulu piza". Jawab Ustaz Luqman. 

Lutfi menunggu giliran untuk membasuh tangan. Ketika menunggu, ada seseorang terselisih bahu dengan Lutfi. Ada sesuatu benda terjatuh ke atas kaki Lutfi. Lutfi segera mengambilnya, namun Lutfi kehilangan jejak orang yang selisih bahu dengan Lutfi. Seolah-olah tiada sesiapa pun yang selisih bahu dengan Lutfi tadi.

'Kad apa ni? Pengembala mimpi?' 

Lutfi membaca tulisan yang tertera pada kad yang dikutipnya. Kad keras berwarna hitam bertulisan jawi berwarna putih. Tiada maklumat lain pada kad itu. Hanya 'pengembala mimpi'. 

Lutfi menyimpan kad itu di dalam poket bajunya sebelum membasuh tangan dan menikmati piza percuma. Ustaz Luqman belanja, alhamdulillah...

***

11.00 malam. Lutfi mengantuk. Malam itu, Lutfi tidak menunggu bapanya pulang. Kerana bapa Lutfi ke luar negara atas urusan kerja. 

Bapa Lutfi sebenarnya seorang pegawai kerajaan. Tetapi terlibat dalam pencaturan yang ganjil. Negara-negara jiran bersetuju untuk 'menjual kedaulatan' di wilayah-wilayah bersempadan dengan Kerajaan Persekutuan. Negeri-negeri di bawah Kerajaan Persekutuan bakal bertambah disebabkan peralihan kedaulatan. Raja-raja Melayu sudah memulakan langkah untuk mengiktiraf beberapa figura sebagai Yang Dipertua negeri-negeri yang bakal beralih kuasa. Khabar-khabar angin tentang isu kerakyatan rakyat negara-negara jiran dari wilayah terlibat mula dibincangkan. Ramai rakyat menyokong 'pembelian kedaulatan' ini dan mula menyuarakan hasrat untuk membantu Kerajaan Persekutuan. Satu dunia kehairanan. 

Lutfi tersenyum melihat bapanya di kaca televisyen, ketika menonton berita tentang peristiwa ganjil 'jual beli kedaulatan' antara Kerajaan Persekutuan dengan negara-negara jiran. 

'Mungkin pertama kali dalam sejarah dunia zaman sekarang', fikir Lutfi, sambil membelek-belek kad yang dia tidak ketahui siapa pemiliknya. 

Lutfi tidur. Televisyen sudah dimatikan. 

"Tuanku Raja Muda. Maafkan patik. Tuanku arahkan patik untuk kejutkan Tuanku". 

Lutfi terjaga. Terkejut.

'Tuanku? Apakah? Eh? Di mana aku ni?'

Benak Lutfi kehairanan. Lutfi keliru. Lutfi melihat sekelilingnya. Dia kini bukan berada di rumahnya. Bukan dunia yang Lutfi kenal selama ini...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

理論

私わ星野源のウィキペディアにグーグルで[逃げるは恥だが役に立つ]か見てしまう

アップデット