لطف سڠ ڤڠمبارا ميمڤي #3
Sambil mengunyah lepat, Lutfi termenung. Dia sangkakan dia sedang bermimpi. Namun, kira-kira sudah seminggu Lutfi 'bermimpi'...
Dunianya kini tiada televisyen, radio dan telefon pintar. Dunianya kini tiada bangunan tinggi berbatu-batu. Dunianya kini tiada kereta atau motosikal berenjin. Seolah-olah suasana kampung, namun kelihatan lebih mewah berbanding kampung yang Lutfi ketahui.
Lutfi kehairanan. Sambil makan, Lutfi mengimbau memorinya. Apabila Lutfi melihat cermin, wajahnya sendiri tidak dia ketahui. Lutfi kini berkulit gelap berbanding sebelumnya. Tidak lagi kelihatan seperti seorang berbangsa Cina. Badannya pula tidak kekar seperti sebelumnya.
'Agaknya ini sebab aku dipanggil Raja Muda Muhammad...' fikir Lutfi sambil mengunyah lepat lagi.
"Kanda, masih meragui dinda? Atau kanda keliru akan perkahwinan kita? Sumpah. Baru sebulan kita disatukan. Dinda masih ingat susah payah kanda menyunting dinda di Kelantan..."
Kedengaran suara seorang wanita berbisik di telinga Lutfi, sambil merangkul bahu Lutfi.
"Cuba kanda ingat. Perkahwinan kita berlangsung dengan gilang gemilangnya. Semua emas kanda anugerahkan, dinda pakai. Apa lagi bukti kanda mahukan?" Tanya wanita itu.
"Aku tengah makan lepat ini. Lepas dulu, boleh?" Jawab Lutfi. Wanita itu pun melepaskan pelukannya.
Sambil duduk, wanita itu menyambung kata-katanya kembali. "Pada hemat dinda, kecederaan di kepala kanda menjadi punca kanda begini..."
"Cedera?" Tanya Lutfi.
"Ya. Kanda berlatih seni mempertahankan diri dengan Tuanku Raja Ahmad. Kanda tercedera di kepala. Seharian kanda tidak bangkit dari tidur. Dinda bimbang, kalau kanda pergi selamanya. Sudah macam-macam cara dinda gunakan..." Keluh wanita itu sambil menahan sedih. Matanya berair.
Terimbau Lutfi pertama kali dia terjaga dari tidurnya, pada hari pertama Lutfi di 'dunia tidurnya'. Lutfi terkejut melihat sekelilingnya berbeza dari tempat tidurnya. Kepalanya terasa sakit seperti terhantuk pada sesuatu sangat kuat. Pada masa yang sama, Lutfi sangat malu kerana menyedari dia hanya berselimut dan wanita ini mengejutkannya dari tidur dengan hanya berbisik di telinga Lutfi.
"Dinda gembira kanda bangkit dari tidur juga". Ujar wanita itu.
Sepi seketika.
"Kanda, gaya pertuturan kanda berubah sejak itu. Kanda asyik berbahasakan 'aku' dengan dinda.." wanita ini mula berleter. Tetapi Lutfi menjawab di dalam benak fikirannya:
'Tapi engkau masa itu sebut "patik" dan "tuanku". Bila tanya siapa, engkau sampai sudah berbahasakan kanda-dinda pula'.
"Kanda kata, nama kanda Lutfi. Sedarlah. Kanda, Raja Muhammad. Tuanku Raja Muda Negeri Melaka. Dinda, Mengindra Putri, isteri kanda..." wanita ini cuba meyakinkan Lutfi.
'Mengapalah dunia mimpi aku ini serumit begini? Sudahlah aku ini akan jawab STPM tahun ini. Sampai tidur pun mimpikan sejarah zaman Kesultanan Melayu Melaka? Aduhai...' Lutfi mengendahkan leteran wanita yang bernama Mengindra Putri ini.
"Dinda berjanji untuk kembalikan ingatan kanda. Dinda berjanji akan setia dengan kanda..."
Terpegun Lutfi dengan ikrarnya. Lantas Lutfi bertanya:
"Macam mana itu?".
"Pertama, dinda mesti ubah laras bahasa kanda. Berhenti 'aku-engkau' sama dinda". Pinta wanita itu.
"OK", jawab Lutfi.
"OK itu apa kanda?"
"Oh? Eh... Macam faham atau setuju begitu..." Terang Lutfi.
"Kedua, dinda akan mengajar..."
"Sekajap, sekejap", Lutfi menyampuk.
"Mengapa, kanda?"
"Pahang sudah bersultan?" Tanya Lutfi kepada Mengindra Putri.
"Pahang bersultankan Tuanku Sultan Melaka, ayahanda kanda".
"Oh..." Lutfi memberi reaksi kepada Mengindra Putri itu.
"Anak Bendahara masih hidup lagi?" Tanya Lutfi lagi.
"Anak Bendahara yang mana? Kalau Besar, dinda ada terlihat dia tengah hari tadi mengikut ayahnya menghadap Tuanku Sultan" beritahu Mengindra Putri.
Jawapan Mengindra Putri ini mengingatkan Lutfi tentang kisah seorang Raja Muda yang dilucutkan jawatan tetapi berjaya membawa sejumlah anggota penyokongnya untuk menubuhkan kerajaan baru. Lutfi memberi cadangan:
"Jom. Kita berpindah"...
Ulasan
Catat Ulasan