لطف سڠ ڤڠمبارا ميمڤي #4

Pada suatu masa dahulu, seorang kerabat diraja dilucutkan jawatannya kerana didapati bersalah membunuh selepas destarnya terjatuh terkena bola takraw. Namun, menjadi suatu keganjilan apabila orang yang dibuang negeri boleh membawa lebih seratus pengikut termasuk beberapa pemimpin bersama, lalu membina institusi diraja yang baharu.

Beberapa abad kemudian, seorang lelaki yang pastinya orang awam tiba-tiba 'terkembara' ke zaman silam sewaktu sedang tidur. Terjaga dan mendapati dirinya 'terperangkap' pada badan kerabat diraja itu. Tidak pasti pengembaraan ini suatu realiti atau fantasi, tetapi itulah apa yang lelaki bernama Lutfi alami. 

'Jika benar aku berada pada zaman silam, aku mahu cuba mengubah sejarah', fikir Lutfi sendirian. 

Lutfi hanya mahu cerita anak Bendahara yang meninggal dunia kerana tersepak destar Raja Muda Muhammad terkeluar dari lipatan sejarah. Lutfi, sebagai Tengku Muhammad, telah menghadap Sultan Melaka dan memberi cadangan supaya dia dinobat sebagai Sultan Negeri Pahang. Baginda Sultan Melaka berkenan dengan cadangan Lutfi dan menitahkan Datuk Bongkok untuk mengikut Lutfi, sambil mengumpulkan kerabat, hulubalang dan dayang yang dirasakan sesuai untuk turut serta dalam perjalanan ke Pahang. 

Lutfi, sebagai Raja Muda Muhammad, turut mencadangkan Raja Ahmad menggantikannya sebagai Raja Muda kerajaan Negeri Melaka. 

"Biar ayahandamu fikirkan", titah Sultan Melaka. 

Banyak perkataan klasik yang, bagi Lutfi, tidak lagi dia gunakan, rupa-rupanya sesuatu yang normal pada zaman ini. Namun, mungkin disebabkan Islam semakin diamalkan oleh kerabat dan rakyat negeri Melaka waktu ini, perkataan-perkataan Arab menjadi sesuatu yang baru dalam perbendaharaan kata bahasa negeri Melaka. Termasuklah perkataan 'fikir' yang Sultan Melaka gunakan. 

"Tuanku Sultan Melaka agak gemarkan perkataan Arab. Orang Arab berdagang ke sini, mereka belajar bahasa negeri Samudera dan Kedah, lalu mereka pakai bila berbahasa dengan kita. Gembira Tuanku Sultan hingga perkataan orang Arab pun Tuanku Sultan mahu kita pula gunakan", leter seorang dayang di istana. Kebetulan Lutfi mendengar ketika melalui dayang itu. Tetapi Lutfi tidak endahkan leteran mereka. 

'Dahsyat orang dulu-dulu bergosip...', ujar Lutfi dalam hatinya. 

"Hai... Bakal Sultan sudah sampai...", Kelihatan seorang lelaki menyapa Lutfi. Itulah Raja Ahmad. Abang kepada Raja Muda Muhammad. 

"Kenapa?", Balas Lutfi. Sambil Lutfi menyedari bahaya menantinya. 

"Tak ada apa-apa. Aku cemburu, nah!", Jerkah Raja Ahmad sambil cuba menikam Lutfi. 

Jerkahan Raja Ahmad mengakibatkan dayang-dayang yang bergosip tadi menjerit dan melarikan diri mereka. Tetapi Lutfi tetap Lutfi. Walaupun 'terperangkap' didalam tubuh Raja Muda kerajaan negeri Melaka, kemahiran tinju Lutfi tetap teraktif. 

Sengaja Lutfi biarkan senjata Raja Ahmad menghampirinya. Dengan pantas, Lutfi menyambar pergelangan tangan Raja Ahmad dan memulasnya sambil mengalihkan pergerakan tangan tadi ke kanan Lutfi. Pada masa yang sama, kaki Lufti melangkah ke hadapan dan memaut kaki Raja Ahmad, dan tangan kiri Lutfi menangkap lembut siku Raja Ahmad. 

Hasil respon Lutfi menyebabkan Raja Ahmad tersentak dan senjata Raja Ahmad terlucut dari tangannya. Peluang ini Lutfi gunakan untuk berpusing ke kiri sambil duduk. Raja Ahmad yang tersentak tadi tidak dapat mengimbangi dirinya, lalu jatuh mengikut pergerakan Lutfi. Tanpa berfikir panjang, Lutfi melepaskan sedas tumbukan di celah kangkang Raja Ahmad dan sedas hentakan siku di perut Raja Ahmad. 

Dengan tenang, Lutfi berkata kepada Raja Ahmad: 

"Mengapa cemburu? Jika aku mati sekarang sekali pun, engkau tidak akan dapat menjadi Sultan. Saksi-saksi di sini melihat engkau dan ayahanda Tuanku Sultan akan menghukum engkau. Tolong lupakan niat engkau. Ketahuilah, jika engkau mengikut aku ke Pahang, peluang engkau menjadi Sultan semakin cerah. Kerana aku masih tiada anak lagi, engkaulah penggantiku jika aku sebagai Sultan, meninggal dunia. Tetapi jika engkau tetap mahu meneruskan niat marah engkau untuk membunuhku, tiadalah negeri Pahang atau sultannya. Dan ayahanda Tuanku Sultan akan pastikan kematian engkau menyusuli kematianku". 

Sunyi seketika suasana istana. Raja Ahmad diam membatu. Mungkin menahan kesakitan atau memikirkan sesuatu. Tetapi apa yang nyata, laras bahasa Lutfi masih 'ganjil' di kalangan orang sekeliling. Itu pun penyumbang kekeliruan kepada Raja Ahmad. 

***

Malam melabuhkan tirainya. Lutfi, biarpun berada 'di dalam badan' Raja Muda Muhammad, tetap bersenam tekan tubi dan sebagainya sebelum tidur. Sudah bersedia untuk bermusafir keesokan harinya ke Pahang. 

"Kanda, apakah ada lagi yang kanda ingin lakukan pada masa akan datang?" Soal Mengindra Putri. 

"Balik rumah...", Jawab Lutfi yang sedang mengantuk. 

***

"Eh?" Lutfi terjaga dari tidurnya. Dia bangun dari berbaring. Lutfi berada di suatu kawasan. Putih sekelilingnya. Susuk seorang lelaki berdiri di hadapan Lutfi. Susuk tubuh yang Lutfi lihat di cermin, kini dihadapannya. Lutfi perhatikan tangan dan kakinya. Kemudian Lutfi meraba mukanya. Lutfi yakin, badannya kini kembali kepada yang asal. 

"Terima kasih kerana menjadi diri beta", sapa lelaki itu. 

Lutfi memandang lelaki itu kebingungan. 

"Beta tetap 'mangkat' pada tarikh yang ditetapkan. Namun, gigih usaha Lutfi, beta puji. Kalaulah Lutfi berada di dunia beta yang sebenar, pasti beta akan lantik sebagai Panglima beta". Terang lelaki itu. 

Lutfi keliru. Tetapi diam. 

"Apabila Lutfi sebut 'balik rumah', Lutfi dalam perjalanan keluar dari 'game' ini". 

"Game?" Lutfi bersuara. 

"Ya. Begini..."

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

理論

私わ星野源のウィキペディアにグーグルで[逃げるは恥だが役に立つ]か見てしまう

アップデット